Tuesday 7 June 2011

KALUT....Bercuti Sambil Merewang


Dalam KEKALUTAN memonteng kerja di dapur seketika... merakam moment indah
Kalut yang indah...
Dah habis satu kekalutan.... hingar bingar, riuh-rendah... memang penat dan letih... macam-macam ada...
orang Selatan cakap REWANG... orang Kedah entah apa istilah bila buat kenduri secara tolong-menolong ni...
Macam-macam PAKATAN ada... pakatan kuih-muih, pakatan gula 2 kilo, pakatan minyak 3 kilo... orang-orang baru macam kita tidak akan faham kerenyahan pakat-pakat ni... 
Tapi... semuanya mampu meringankan beban keluarga yang menganjurkan walimatulurus.... (betulkah ejaan?). Ya lah... gula, minyak, untuk masak-masak sudah ada, kuih-muih untuk buah tangan tetamu sudah tersedia. Jimat belanja. Semua jiran tetangga, sanak-saudara membantu tanpa upah. Cuma siapkan minuman dan makanan ja.. 
Kadangkala cakap-cakap semasa meREWANG ini agak melucukan dan mencuit hati ..sebenarnya cakap-cakap itu lebih kepada laungan dan sahutan yang memeriahkan suasana.. kadangkala mencipta kekalutan yang tidak sepatutnya. Orang-orang lama yang kerjanya lebih cepat dan sempurna berbanding orang baru macam kita, masing-masing mengeluarkan suara dengan kuat untuk meminta sesuatu atau untuk memastikan semua sudah tersedia. Mungkin untuk melawan atau mengatasi suasana yang riuh ketika itu.
Dalam keriuhan suasana walimatulurus yang bermula 1,2,3 hari sebelum hari kemuncaknya... pelbagai juadah santapan perlu disediakan. Semuanya secara gotong-royong. Bermula dengan hari mesyuarat, menentukan jenis masakan yang akan disediakan, agihan tugas diberi. Selalunya mesyuarat ini dilakukan pada waktu malam. Makanan kebiasaan sama ada bihun goreng, mee kuah, sirap, kuih-muih, teh panas, dan minuman wajib kopi panas (jika tidak disediakan, pastikan akan kedengaran laungan dari kumpulan lelaki "la... ayaq kopi mana?" Maka terpaksa disediakan juga akhirnya, walaupun minuman lain telah tersedia. Jadi, lebih baik disiapkan awal-awal.
Kemudian, bermula pula aktiviti membuat kerisek (buah kelapa @ nyoq dimesin isinya, digoreng dan ditumbuk). Biasanya makanan yang disediakan dalam aktiviti ini hanyalah kuih-muih atau biskut kering sahaja, teh panas dan kopi yang wajib. Sebab hanya melibatkan jiran beberapa orang jiran terdekat sahaja. Kerisek ini disimpan untuk dimasukkan dalam masakan yang memerlukan pada hari kenduri nanti.
Dua hari atau sehari sebelum kenduri pula merupakan hari mendirikan khemah dan menghantar alatan kenduri untuk jamuan kenduri nanti. Pinggan mangkuk, dapur masak, meja kerusi, macam-macamlah. Jadi, perlu sediakan makan-makan lagi. Pernah juga terfikir, kenapalah tidak mahu menggunakan khidmat katering. Mudah dan tidak memenatkan. Tapi, orang-orang lama tetap mahu semuanya disediakan sendiri. Alasannya "Katering ni untuk orang yang tidak pernah membantu kenduri orang lain, sebab itu, tidak mahu buat secara gotong-royong". Ya lah, zaman sekarang, masing-masing ada kerjaya. Kesibukan yang menghalang kita melibatkan diri. Sikap kita ini yang mengundang rasa sinis orang lama. Mereka pun ada kerja dan penat, tetapi tetap melibatkan diri. Alasan lain yang pernah saya dengar "kalau katering, tak rasa keriuhan kenduri tu... tak syok lah". Makanan untuk kaum lelaki yang mendirikan khemah ni, bihun goreng atau bubur kacang bersama pulut atau mee goreng, sirap, teh panas dan kopi wajib.
Sehari sebelum kenduri juga ada aktiviti kaum perempuan menyediakan bahan masakan. Orang Kedah panggil "Bersiang bawang" ha ha.. Maksudnya potong bawang, halia, cili, ubi kentang, ikan masin dan lain-lain lagi. Tapi entah kenapa dipanggil "Bersiang Bawang" sedangkan banyak lagi bahan lain. Sediakan awal-awal untuk digunakan kaum lelaki keesokan harinya (tempat kenduri, kaum lelaki yang masak...). Makan lagi, selalunya makanan, menu yang agak sama dengan aktiviti mendirikan khemah
Malamnya, selalunya diadakan majlis khatam Quran, Jadi makan lagi. Malam ni, makanan agak berat. Makan nasi. Lauknya ikut tuan rumahlah. Budget lebih, makan lauk mahal sikit. Tapi walau ikan masin, gulai ikan temenung (ikan kembung) ulam-ulam dan sambal pun sedap. Makan ramai-ramai, basuh pinggan ramai-ramai. Gurau-senda, walau letihnya... Jangan lupa masakkan air gula untuk minuman esoknya. Bayangkan keadaan rumah ketika itu. Bersengkang mata menunggu acara selesai, menunggu tetamu pulang untuk mengemas rumah untuk acara kemuncak esok harinya. Kesabaran amat penting. Adik-beradik yang prihatin akan sanggup menunggu walau mata mengatuk. Yang ada anak kecil, bolehlah bagi alasan untuk ponteng melelapkan mata. Yang lain, tidak ada alasan, kecuali ada sikap tidak kisah. 
Hari kemuncak!
Bermula seawal pagi, selepas subuh. Hiruk-pikuk bermula dengan bunyi mesin nyoq atau kelapa. Laungan memanggil anak-anak lelaki yang agak lewat bangun membantu. Kaum lelaki sibuk memotong daging. Yang perempuan lebih sibuk. Perlu sediakan  makanan untuk MENYOROK dan dalam masa yang sama perlu sediakan dessert untuk kenduri (bubur kacang lah) dan kalau kenduri kampung ni perlu goreng ikan masin. MENYOROK ialah sarapan pagi. Penat dan kalut lagi. Menyorok selalunya makan pulut dengan ikan masin atau kelapa parut iaitu nyoq muda. Beras pulut dan kacang hijau untuk dessert sudah direndam malamnya oleh kaum perempuan. Paginya mudah dan cepat untuk dikukus atau dimasak. Kadang-kadang ada juga tuan rumah yang menyediakan nasi dengan satu, dua jenis lauk. Minuman, biasalah.. teh panas, kopi wajib. Sambil bergilir mereka MENYOROK dan melakukan tugas masing-masing. Diselang-seli gurauan dan laungan "Ayaq kopi tak cukup!   Pinggan lagi!, cawan lagi!  " dan juga sapaan beradab untuk sesiapa yang terlewat datang "Masuk-masuk... pi makan dulu... nanti nak buat kerja  " Nanti akan dijawab oleh orang yang lewat "tak pa... dah makan kat rumah  " ha ha.... gurauan dan sindiran yang tidak berbekas pun. Makan tetap makan, kerja pasti akan disiapkan.
Selepas acara masak-masak disiapkan, bermula pula cara menghidang. Selalunya, jam 11 pagi semua sudah tersedia. Lain pula kekalutannya. Akan ada suara, "mana ayaq gula? " minuman tak cukup. Dalam kekalutan itu akan ada permintaan dari kaum lelaki yang menjadi MENTARA.. dari remaja-remaja lelaki yang bertugas membasuh pinggan, gelas. "Kami nak kuih... mai dua pinggan" "Ayaq kopi... kalau boleh buat kopi susu". MENTARA adalah orang yang memastikan lauk-pauk cukup pada meja hidangan, pastikan meja dikemaskan. Begitu juga dengan GEDEHOK. Orang yang menjaga bahagian makanan, lauk-pauk. Mereka menyiapkan bekas-bekas makanan untuk dibawa pulang oleh tetamu. Makanan lagi. Sudah makan, diberi untuk dibawa pulang lagi. Indahnya adab kenduri cara lama. Memang perit, kalut, renyah... tapi mampu mencipta mesra. Yang pasti kekalutan belum berakhir bagi kaum perempuan di dapur. Perlu pula menyediakan makanan khas untuk meja pengantin. Pihak pengantin sana selalunya tiba dalam jam1.00 petang. Jadi, tidak perlu bimbang. Makanan pasti siap, terhidang bersama hiasan yang terbit dari kekalutan. Tuan rumah tidak perlu risau.
Esoknya, makan lagi semasa aktiviti meruntuhkan khemah....... jangan lupa biskut kering, pulut, bubur kacang, sirap, teh dan kopi wajib
Bila perut dijaga, kerja siap, hati senang..... kemesraan terpelihara
Sebuah KEKALUTAN yang INDAH

1 comment:

Terima Kasih atas keperihatinan. Ia bermakna...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...