Thursday, 23 June 2011

Mat Arip sudah faham kot ...

Mat Arip mempercepatkan kayuhan basikalnya... Sudah senja... Untuk sampai cepat ke rumah, Mat Arip ikut jalan pintas. Perlu melalui jalan yang melintasi hadapan rumah Morad rakan sekelasnya...

Bergeduk-gedak bunyi tayar basikal semasa melintasi rumah Morad... teruk sungguh jalan di situ. Berbeza dengan jalan ke rumahnya yang bertar hingga ke depan pintu. Sebenarnya Mat Arip sendiri hairan kenapa jalan yang melalui rumah Morad tidak berturap, sedangkan jalan di  hadapan rumah Pak Leh Ketua Kampung yang berselang dua, tiga buah rumah dengan rumah Morad sudah dua-tiga kali berturap... Kuat ingatannya. Yalah sekarang Mat Arip belajar dalam tingkatan 2, sudah kuat memori dan skill mengira.

Pernah juga dia bertanya kepada ayahnya Pak Leman, kenapa tidak diturap semua jalan di kampung itu.  
“Ni projek untuk rakyat...” jawab Pak Leman. Mat Arip memandang muka Pak Leman.  “Awat? Pak Ngah Hashim ayah Morad tu bukan orang sini ka? Bukan rakyat ...
Pak Leman menjeling sekilas. Mat Arip tak faham... Dia pernah tengok Kad Pengenalan Morad. Jadi dia pasti Morad juga rakyat negara ini.
Mat Arip juga masih ingat semasa musim hujan, Morad dan kakaknya bersama beberapa orang lain yang melalui jalan tersebut membalut kasut sekolah yang dipakai dengan plastik untuk  berjalan keluar menunggu bas 6.30pagi. Memang teruk sungguh jalan di situ. Plastik dibuka apabila sudah menaiki bas.

Dulu, Mat Arip dan budak-budak kampung yang mempunyai jalan yang berturap sering rasa bangga. Rasa bangga seperti ibu bapa mereka, terutama Pak Leman yang sentiasa menyindir ayah Morad yang tidak mendapat apa-apa bantuan. Sudahla jalannya berturap, disedia pula tempat menunggu bas yang selesa di hujung jalan besar.

Semasa Mat Arip tingkatan 3, barulah jalan untuk ke rumah Morad berturap. Itupun hasil kutipan duit daripada orang kampung yang tidak mendapat bantuan projek untuk rakyat. Didirikan pula pondok menunggu yang kayunya disumbang oleh hamba Allah yang ikhlas. Mat Arip hairan kenapa mereka guna duit sendiri, duit sumbangan... Mat Arip tidak faham.

Semasa musim mengundi, Mat Arip boleh tersengih besar. Kenapa? Apa tidaknya... ayahnya ditugaskan mencari belia-remaja mengantung poster dan bendera. Memang lumayan upahnya. Mat Arip sebagai kawan pernah mengajak Morad ikut serta. Tapi Morad ada agenda sendiri.

Mat Arip masih teringat bagaimana Makcik Mbun menjerit memarahi Morad dan rakan-rakan sejiwa Morad yang menggunting kain hijau sekolah agama kakaknya untuk dibuat bendera. Memang kain itu sudah tidak digunakan lagi, tapi Makcik Mbun simpan untuk adik Morad, yang akan ke sekolah agama dua tahun lagi.

Bendera yang dibuat Morad dan kawan-kawannya itu berkibar megah dijulai beberapa pokok kekabu tertinggi di kampungnya. Memang Morad dan kawan-kawan sejiwanya bangga teramat. Lagipun marah Makcik Mbun tidak lama.
Mat Arip memang tidak faham... kerana bendera yang digantungnya lebih cantik, dan dapat upah pula... Entah apa yang Morad dan kawan-kawannya itu mahu banggakan. Morad cakap ‘kepuasan’.

Masih terngiang di telinga Mat Arip, laungan cikgu Matematik yang meminta mereka beratur sebelum masuk ke kelas. “Semua masuk barisan...masuk barisan”  Laungan sambil tersenyum lebar mengharapkan mereka faham.  Mat Arip dan rakan-rakan tahu cikgu Matematik itu orang yang kuat ‘berjuang’. Kalau tidak, masakan selalu tiada di sekolah kerana menghadiri mesyuarat itu ini. Semua orang tahu. Biasanya laungan itu dibalas secara gurauan oleh Morad “Siapa nak selamat, cerah masa depan, kena ‘pass’ la cikgu...kalau gagal tak jadi apa...”
Dulu semua ini Mat Arip tidak faham. Sekarang, rasanya Mat Arip dah faham kot...

3 comments:

  1. wahh... ini cerita isinya banyak.
    harap-harap semuanya at least faham macam mat arip bukan macam zahid mat arip.

    ReplyDelete
  2. nak baca.. tapi ta sempat ni.. sambung isnin nanti kak liza dtg balik. best ni!

    ReplyDelete
  3. Cikli; ini kisah kat kota...

    ReplyDelete

Terima Kasih atas keperihatinan. Ia bermakna...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...